SAYA merasakan perlu memberi ingat kepada saudara-saudara
sekalian kepada satu bencana yang akan berlaku sebagaimana yang telah diberi amaran oleh
Rasulullah saw di dalam beberapa hadisnya dengan sabdanya yang bermaksud:
" Takutlah kamu kepada Allah SWT dalam perkara-perkara yang berhubung dengan kaum
perempuan."
Kita melihat di akhir-akhir ini kaum wanita menjadi fitnah dan bencana yang digunakan
oleh mereka yang bertujuan untuk meruntuhkan akhlak umat Islam. Mereka menjadi sasaran
apabila batang tubuh mereka dijadikan alat untuk mengiklankan barang-barang jualan
walaupun barang-barang tersebut tidak ada kena mengena dengan kaum wanita. Batang tubuh
wanita dijadikan punca kepada maksiat apabila berlaku kelakuan mendedahkan aurat di
kalangan mereka.
Allah SWT menentukan bahawa Rasulullah saw mendidik keluarga dan isteri-isteri baginda
terlebih dahulu sebelum memberi pendidikan kepada orang lain sebagaimana firman Allah di
dalam al-Quranul Karim yang bermaksud:
"Wahai nabi, katakan kepada isteri-isterimu,jika kamu sekalian inginkan kehidupan
dunia dan perhiasannya, maka marilah supaya Aku berikan kepada kamu, kemudian Aku ceriakan
kamu dengan cara yang baik. Dan jika kamu sekalian menghendaki (keredhaan) Allah dan
rasul-Nya (kebahagiaan) hari akhirat, maka sesungguhnya Allah menyediakan kepada sesiapa
yang berbuat baik di antara kamu pahala yang besar."
Begitulah Allah SWT memerintahkan Rasulullah saw supaya mendidik isteri-isteri baginda
supaya berpegang dengan agama dan mendidik keluarganya supaya mematuhi perintah Allah SWT.
Kita melihat kedua ibu bapa pada hari ini kurang memberi perhatian kepada pantang
larang agama terutamanya di dalam perkara menutup aurat di kalangan anak-anak perempuan
mereka. Beranggapan bahawa menutup aurat hanyalah satu adat dan budaya semata-mata dan
bukannya ada kaitan dengan agama, tidak ada kaitan dengan dosa pahala dan hari akhirat.
Rasulullah saw memberi tahu di dalam hadisnya Israk dan Mikraj bahawa baginda melihat
ada perempuan yang digantung kepalanya di dalam neraka jahanam kerana mendedahkan aurat.
Ini menunjukkan bahawa perkara aurat bukannya perkara yang boleh dipandang ringan. Ada ibu
bapa yang tidak mengambil kisah apabila anak-anak mereka mendedahkan aurat di khalayak
ramai lalu berlakulah perkara-perkara yang tidak diingini seperti zina, rogol dan
sebagainya, maka pada masa itu barulah kedua ibu bapa merasa susah dan malu. Puncanya
ialah kerana mereka tidak mendidik anak-anak dengan didikan yang betul.
Rasulullah saw pernah memberi tahu dalam hadisnya bahawa Allah SWT akan memasukkan
kedua ibu bapa yang mempunyai tiga orang anak perempuan kemudian mendidik mereka secara
didikan agama.
Sahabat bertanya: "Kalau ada dua orang anak perempuan?
" Baginda menjawab: "Ya, walaupun dua orang."
Dapat difahami daripada hadis ini, iaitu kalau orang dapat menjaga anak-anak mereka
dengan baik dan mengikut adab-adab Islam, akan dimasukkan ke dalam syurga, maka sebaliknya
sesiapa yang tidak peduli terhadap pendidikan anak-anak akan menjadi sebab untuk
dimasukkan ke dalam neraka.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Wahai orang-orang beriman, selamatkan diri kamu dan keluarga kamu daripada azab
neraka." (Surah Al-Taharim: ayat 6).
Rasulullah saw mengajar kita cara mendidik anak sebagaimana sabdanya yang bermaksud:
"Suruhlah anak-anak kamu sembahyang apabila berumur tujuh tahun. Pukul mereka
apabila berumur sepuluh tahun jika tidak juga sembahyang serta pisahkan tempat tidur
mereka."
Bukan sahaja kita wajib memerintah dan memukul anak-anak apabila berumur sepuluh tahun
kerana tidak sembahyang tetapi juga hendaklah dibuat perkara yang sama ke atas mereka
apabila tidak melakukan suruhan-suruhan agama yang lain seperti menutup aurat, puasa dan
lain-lain. Ramai ibu bapa pada akhir-akhir ini menjaga anak-anak mereka seolah-olah hanya
memberi tempat tinggal, makan dan minum semata-mata seperti memelihara ayam, itik, lembu,
kerbau dan kambing yang hanya bertujuan menggemukkan badan sahaja.
Percayalah apabila anak-anak itu diajar dengan akhlak yang baik, anak-anak itu akan
memberi faedah kepada orang tuanya semasa hidup dan selepas mati, semasa sihat dan semasa
sakit, di dunia dan di dalam kubur. Kita tidak mahu anak-anak yang menjadi beban dan
celaka kalau tidak pandai mendidik mereka.
Walaupun sekadar tidak menutup aurat, anak-anak kita akan membawa celaka semasa hidup
dan selepas mati.
Marilah kita kembali kepada Allah dengan memberi perhatian kepada diri kita dan kepada
anak isteri kita dengan jangan membiarkan mereka membuka aurat di khalayak ramai dan
bergaul secara bebas yang kemudiannya akan membawa mala petaka kepada diri mereka,
keluarga, masyarakat dan negara, seterusnya membawa bala di akhirat kelak kepada kita.