Beliau selalu solat tahajjud dan mendoakan kesejahteraan rakyat. Beliau antara orang yang memberi sumbangan yang amat besar dalam peperangan Salib.
Pada satu malam, beliau bermimpi bertemu dengan Rasulullah SAW. Dalam mimpi itu, baginda memakai baju yang cantik gemerlapan dan
berada di hadapan Rasulullah. Rasulullah memegang tangan
Nuruddin dan menunjuk kepada dua orang lelaki yang berada di
hadapannya dan bersabda: "Kenalilah aku. Bebaskan aku dari dua
orang itu!" Nuruddin terbangun, namun wajah Rasulullah dan dua
orang lelaki itu kelihatan jelas di hadapannya seperti bukan
mimpi. Wajah kedua lelaki itu kelihatan kemerah-merahan.
Mimpi tersebut berulang kembali, lalu beliau
menceritakan mimpinya kepada Jamaluddin Al-Mushly, salah seorang
menteri yang amat dipercayainya. Jamaluddin mantafsirkan mimpi
rajanya bahawa ada rancangan
jahat dari orang tertentu yang ditujukan kepada Rasulullah dan Sultan Nuruddin diberi tugas untuk
menggagalkan rancangan jahat tersebut.
Lalu Jamaluddin mencadangkan agar Sultan Nuruddin pergi ke
Madinah dan berdoa di makam Rasulullah SAW, memohon petunjuk
daripada Allah SWT. Maka, rajapun pergilah ke Madinah diiringi
oleh pengawal-pengawalnya. Setelah sampai di Madinah, raja terus
pergi ke makam Rasulullah SAW dan berdoa kpd Allah SWT supaya rahsia di sebalik mimpinya itu
diperlihatkan kepadanya.
Setelah baginda raja berdoa dengan penuh khusyuk di taman Raudhah, kemudian datang petunjuk dari Allah seolah-olah beliau dapat menyingkap tafsir mimpinya itu di kota mulia tempat bersemayamnya Rasulullah SAW. Oleh kerana Raja Nuruddin ingin segera mengetahui makna mimpinya yang menakutkan itu, lalu beliau memanggil gabenor Madinah dengan berkata: "Saya mahu kamu kumpulkan kesemua penduduk Madinah tanpa ada sesiapa pun yang dikecualikan, saya ingin bersalaman dengan mereka. Gabenor Madinah pun segera menyampaikan pesanan raja kepada penduduk Madinah dan penduduk yang berhampiran dengan kota Madinah.
Berkata gabenor Madinah kepada penduduk kota Madinah dan
sekitarnya: "Atas perintah Raja Nuruddin, semua rakyat Madinah
dan kawasan yang berhampiran denganya, sama ada lelaki atau
wanita, tua atau muda dari berbagai jenis agama dikehendaki
hadir di dewan orang ramai, kerana baginda Raja Nuruddin hendak
bertemu dengan semua penduduk di sini." Setelah berita
disebarkan maka orang ramai bersama seisi keluarga segera pergi
ke dewan orang ramai dengan perasaan gembira, tidak seorang pun
yang tertinggal. Mereka yang tua dan uzur diusung sehingga
banyak sekali usungan yang kelihatan dalam perjalanan menuju ke
dewan orang ramai. Apabila seluruh penduduk kota Madinah telah
berkumpul, gabenor Madinah pun melaporkan kepada Raja: "Tuanku,
semua rakyat telah berkumpul dan mereka sedang menunggu
kehadiran tuanku." Berkata Raja Nuruddin: "Apakah kamu yakin
bahawa semua rakyat telah datang untuk bersalaman dengan saya?"
Berkata gabenor Madinah. "Insya Allah." Setelah Raja mendengar
penjelasan dari gabenor, Madinah, maka Raja pun segera pergi ke
tempat orang ramai yang sedang menunggunya. Wajah kedua lelaki
yang datang dalam mimpinya semakin mencabar di hadapannya.
Setelah baginda Raja sampai di tempat dewan orang ramai, maka
baginda pun memandang kepada rakyat sebagai penghormatan. Mata
Raja Nuruddin sentiasa mencari-cari wajah yang menjadi
buruannya, tetapi tidak juga kelihatan. Raja Nuruddin semakin
risau, beliau duduk sekejap dan berbincang dengan
pegawai-pegawai dari Madinah. Berkata Raja, Nuruddin: "Apakah
masih ada rakyat yang melepaskan peluang untuk bertemu dengan
saya? Cuba siasat sekali lagi." Kemudian para pegawai dari kota
Madinah berbincang sesama mereka, mereka cuba mengingati
wajah-wajah yang tidak hadir. Tiba-tiba seorang pegawai berkata
dengan serius dan bersemangat: "Betul tuanku, hamba ingat masih
ada dua orang kenamaan di Madinah yang tidak hadir di sini,
mungkin kedua mereka tidak mendengar berita tentang ketibaan
baginda tuanku ke sini."
Raja Nuruddin berkata: "Di mana mereka berada, dan siapakah
mereka itu?" Denyutan jantung Raja Nuruddin semakin cepat,
tetapi beliau menahan perasaannya. Orang yang mengenali kedua
lelaki itu berkata: "Mereka berdua adalah ahli tasawwuf dan ahli
hikmah, sangat wara' dan sangat banyak ibadahnya, sesiapa sahaja
yang pergi kepada mereka akan menerima fatwa-fatwa yang
menyejukkan dan menerima sedekah. Dan kedua mereka juga adalah
dermawan dan telah banyak sekali membantu fakir miskin." Raja
Nuruddin sangat tertarik dengan huraian pegawainya dan beliau
berkata: "Saya ingin sangat untuk bertemu dengan kedua mereka,
jemputlah mereka sekarang juga."
Tidak berapa lama kemudian kedua mereka itu pun datang ke dewan
orang ramai setelah diundang. Kedua mereka berjalan dengan
tunduk dan tawadhu', sementara mulut mereka tidak berhenti-henti
berzikir kepada Allah SWT. Apabila kedua mereka berdiri di
hadapan Raja Nuruddin, Raja Nuruddin terperanjat kerana kedua
mereka itulah yang muncul dalam mimpinya. Dalam hati Raja
Nuruddin berkata: "Demi Allah orang inilah yang datang dalam
mimpiku." Walaupun kedua mereka itu berada di hadapan beliau,
beliau belum pasti sama ada beliau bermimpi atau tidak, lalu
beliau menggosok kedua biji mata beliau dan dibukanya mata
beliau terang-terang. Ternyata kali ini beliau tidak mimpi,
beliau kini berada betul-betul di hadapan orang yang menjadi
buruan beliau. Raja Nuruddin memandang mereka dari semua segi,
dari segi bentuk muka mereka, susunan gigi, mata dan lain-lain.
Akhirnya beliau meyakini dengan seratus peratus bahawa memang
sah kedua lelaki itulah yang muncul dalam mimpinya. Kalau
ikutkan hati Raja Nuruddin hendak ditanya sahaja: "Siapakah kamu
berdua ini." Raja Nuruddin bertambah hairan melihat kedua
mereka, ini adalah kerana kedua mereka itu begitu khusyuk dan
tawadhu', gerak-geri mereka tidak sedikit pun mencurigakan.
Segi rambut pula ikut sunnah, serban pula ikut cara Rasulullah.
Sewaktu bersalaman menunjukkan adab seorang alim dan ahli
tasawwuf, tutur katanya pula penuh hikmah dan selalu berasaskan
Al-Quran dan Al-Hadith. "Tetapi mengapa Rasulullah minta
dibebaskan dari dua orang itu? Apakah dosa yang telah diperbuat
oeh keduanya? Begitulah pertanyaan yang keluar dari hati Raja
Nuruddin. Beliau hairan dan tidak tahu apa yang hendak dibuat,
namun demikian tidak seorang pun yang dapat membaca perasaan
Raja Nuruddin. Raja Nuruddin serba salah kerana orang ramai
mengenali kedua mereka sebagai orang yang alim dan menunjukkan
sikap yang penuh tasawwuf, baginda Raja juga menghormati
kealiman dan ketasawwufan mereka. Oleh kerana Raja Nuruddin
tidak dapat membuat apa-apa keputusan maka majlis pada hari itu
bersurai setelah baginda Raja bersalam dengan semua rakyatnya
seperti yang dijanjikan. Setelah majlis perhimpunan yang pertama
selesai, orang ramai pun bersurai dan mereka merasa puas hati
kerana dapat bersalam dengan Raja mereka. Gebenor Madinah merasa
sangat gembira kerana majlis itu mendapat sambutan yang sungguh
menggalakkan. Satu-satunya orang yang tidak puas hati ialah Raja
Nuruddin, kerana teka-teki yang menghantuinya belum terjawab.
Selepas menunaikan solat Raja Nuruddin beristighfar dan berzikir
banyak-banyak, kemudian beliau berdoa dengan doa yang amat
panjang, dalam doa tersebut beliau meminta petunjuk yang lebih
jelas dari Allah SWT. Ketika Raja Nuruddin duduk bersendirian,
lalu datang menterinya Jamaluddin dengan berkata: "Wahai tuanku,
sudahkah tuanku jumpa dengan dua lelaki yang tuanku cari itu?"
Berkata raja Nuruddin: "Ya, sudah." Jamaluddin bertanya: "Yang
mana satu tuanku?" Berkata Raja Nuruddin: "Jemputan yang
terakhir sekali, saya pasti itulah orang yang ditunjuk oleh
Rasulullah SAW dalam mimpiku." Jamaluddin diam sambil
mengangguk-anggukkan kepalanya, pertanda dia sedang memikirkan
sesuatu. Berkata Raja Nuruddin: "Tapi yang peliknya saya tidak
dapat sesuatu yang mencurigakan pada diri mereka itu, keadaan
keduanya memang seperti yang diceritakan oleh orang. Akhlaknya,
gerak-gerinya dan tutur katanya semuanya menggambarkan
keperibadian Rasulullah SAW. Inilah yang membuat saya rasa pelik
sangat, entah dosa apa yang telah mereka lakukan?"
Setelah Jamaluddin mendengar kata-kata Rajanya maka dia pun
berkata: "Tuanku, ketahuilah bahawa seseorang yang pada zahirnya
menunjukkan baik, segalanya mengikut cara Rasulullah SAW belum
tentu hatinya baik. Boleh jadi ia hanya berpura-pura supaya
orang ramai tidak mencurigainya, padahal dia adalah musuh yang
jahat."
Berkata Raja Nuruddin: "Betul katamu itu, kerana memang ramai
orang-orang kafir berpura-pura Islam, sedangkan tujuannya untuk
menghancurkan Islam dari dalam. Allah SWT telah berfirman dalam
Al-Quran yang bermaksud: "Dan di antara manusia ada yang
ucapannya tentang kehidupan dunia, sangat menarik perhatianmu,
dan di persaksikannya Allah (atas kebenaran) isi hatinya,
padahal ia sebenarnya adalah musuh yang jahat."
Raja Nuruddin memang tahu tentang tipu helah orang-orang kafir
yang sentiasa hendak merosakkan Islam dengan berbagai cara.
Berkata Raja Nuruddin lagi: "Apakah yang harus kita lakukan?"
Berkata Jamaluddin: "Tuanku mestilah mengadakan perisikan ke
rumah orang itu secara rahsia." Raja Nuruddin dan menterinya
Jamaluddin mengadakan perbincangan secara rahsia tentang cara
yang terbaik untuk mendapatkan maklumat tentang pergerakan kedua
lelaki yang disyaki. Setelah sekian lama mereka berbincang
akhirnya mereka mendapat satu cadangan yang baik, yakni orang
ramai dijemput untuk menghadiri rumah terbuka atas arahan Raja
Nuruddin.
Kedua orang yang disyaki juga diundang sebagai tetamu kehormat.
Rahsia ini tetap menjadi rahsia antara Raja dengan menterinya.
Gabenor Madinah diberikan tugas untuk menjayakan majlis
tersebut. Setelah saat yang dinantikan telah tiba, maka ramailah
orang yang datang menghadiri majlis tersebut. Kedua lelaki yang
disyaki juga awal-awal lagi telah berangkat menuju ke majlis
diraja. Apabila Raja Nuruddin dan Jamaluddin melihat kedua
lelaki alim itu telah keluar dari rumah mereka, kemudian Raja
Nuruddin, Jamaluddin dan beberapa pengawal pergi ke rumah orang
alim itu. Kesemua bahagian dalam rumah itu di periksa oleh Raja
Nuruddin, malangnya tidak satu pun benda yang mencurigakan.
Sebaliknya dalam rumah tersebut terdapat banyak ayat-ayat
Al-Quran yang digantung dan juga hadith nabi. Dalam almari orang
alim itu dipenuhi dengan kitab-kitab agama feqah dan juga
tasawwuf, keadaan rumah itu menggambarkan seolah-olah pewaris
Nabi SAW. Hati kecil Raja Nuruddin masih bertanya: "Apalagi yang
harus aku syaki? Kenapa Baginda Rasulullah SAW minta pertolongan
dariku supaya dibebaskan dari kedua lelaki ini?"
Setelah merasa puas dengan selidikan di rumah tersebut Raja
Nuruddin mengambil keputusan untuk keluar dari rumah tersebut,
tetapi apabila baginda Raja hendak melangkah keluar dari rumah
tersebut, datang ilham yang membuat beliau teringin benar untuk
melihat sebuah permaidani yang sangat indah terbentang di sudut
rumah. Raja Nuruddin merasa sangat kagum dengan keindahan dan
kehalusan permaidani yang di anggap cukup mahal itu.
Raja Nuruddin tidak puas dengan melihat sahaja kecantikan
permaidani tersebut, tetapi beliau membelek-belek permaidani
tersebut. Sewaktu membelek permaidani itu Raja Nuruddin terlihat
di bawah permaidani itu terdapat papan dan beliau berkata: "Eh,
ada papan." Raja Nuruddin mulai curiga tentang papan itu, lalu
baginda mengangkat papan itu perlahan-lahan, ternyata di bawah
papan itu mempunyai sebuah terowong yang mempunyai tangga. Raja
Nuruddin meneliti arah perginya terowong tersebut, akhinya
beliau terkejut dan berkata: "Maasya Allah, terowong ini menuju
ke arah kubur Rasulullah SAW." Kemudian Raja Nuruddin
mengeluarkan arahan: "Tangkap kedua orang itu." Dengan
terbongkarnya rahsia itu maka yakinlah Raja Nuruddin akan makna
mimpinya itu, kedua lelaki yang menyamar sebagai alim itu adalah
musuh yang hendak mencuri jasad Rasulullah SAW. Dengan
terbongkarnya rahsia kedua orang itu, maka orang ramai pun
datang untuk menyaksikan peristiwa di rumah orang alim itu.
Beberapa orang telah turun ke dalam terowong yang sangat jauh
itu dan akhirnya mereka mendapati bahawa terowong yang digali
oleh kedua orang itu sudah hampir benar dekat pada jasad
Rasulullah SAW. Setelah mendapat kepastian dari orang yang masuk
ke dalam terowong itu, orang ramai tidak tahan sabar lagi. Lalu
kedua-dua mereka dipukul dengan teruk sekali, kemudian kedua
mereka dibawa ke pengadilan. Dalam mahkamah keduanya berterus
terang dengan berkata bahawa kedua-dua mereka telah tinggal di
Madinah lebih dari setahun sebagai agen Yahudi. Orang-orang
Yahudi memberi perbelanjaan yang cukup banyak pada keduanya
untuk tujuan mencuri jasad Rasulullah dari kuburnya, tujuannya
ialah apabila jasad Rasulullah berada di tangan Yahudi mereka
dengan mudah dapat merendahkan martabat Kekasih Allah dan
seterusnya menghina umat Islam. Umat Islam di Madinah rasa
tertipu oleh kedua orang Yahudi itu, akhirnya kedua orang Yahudi
itu dijatuhi hukuman mati.
Raja Nuruddin sujud syukur kepada Allah SWT kerana tugas yang
diberikan oleh Rasulullah SAW kepadanya telah berjaya
diselesaikan dengan berkat hidayah dan pertolongan-Nya. Untuk
mengelakkan supaya kejadian seperti itu tidak berulang lagi,
Raja Nuruddin memerintahkan supaya ke empat penjuru sekeliling
kubur Rasulullah dipagar dengan konkrit sampai ke bawah tanah.
Sebelum Raja Nuruddin berlepas dari Madinah sekali lagi beliau
bermimpi berjumpa dengan Rasulullah SAW, kali ini Rasulullah
merangkul dan memeluk leher beliau. Apabila telah tiba masanya
Raja Nuruddin hendak meninggalkan kota Madinah, beliau memberi
taklimat terakhir kepada penduduk Madinah akan kejahatan dan
dendam orang Yahudi terhadap Islam, dendam orang Yahudi terhadap
Islam akan berterusan. Raja Nuruddin pun kembali ke Mosul dengan
diiringi doa dan air mata oleh sekalian rakyat yang
mencintainya.


