New Page 1

 

Home
Menu Utama

 

Kaedah Ketiga
 

الْمَشَقَّةُ  تَجْلِبُ التَّيْسِيرَ

Kesusahan Membawa Kemudahan


 

Kaedah ini bermaksud, apabila terdapat sesuatu kesusahan atau kesulitan dalam menunaikan dan melaksanakan perintah Allah, maka perintah itu ringankan , tidak seperti asalnya. Kaedah ini berdasarkan dalil al-Qur’an dan hadis :

a)      Sebagaimana firman Allah:

 يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمْ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمْ الْعُسْرَ
 Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.

 

b)      Firman Allah lagi:

 وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ

 Terjemahan: Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan)

 

c)      Hadis daripada Abu Hurairah yang diriwayat oleh Buhari dan Muslim :

وَإِنَّمَا بُعِثْتُمْ مُيَسِّرِينَ وَلَمْ تُبْعَثُوا مُعَسِّرِينَ

Sesungguhnya kamu diutus untu memudahkan dan bukan diutus untuk menyusahkan.

          Berdasarkan kaedah ketiga tersebut, meletakkan bebanan itu menjadi kesukaran terhadap hamba-hamba, untuk itu kesusahan tersebut juga menjelaskan kepada kita bahawa agama Islam itu membawa konsep kemudahan terhadap umatnya dan memberi keringanan bukan kesusahan dan kesempitan. Walaupun begitu, mestilah terlebih dahulu menentukan musyaqqah atau kesusahan yang menjadi sebab keringanan.

       Walaupun pada zahirnya dalam syariat Islam dan kehidupan seharian manusia mempunyai taklif yang juga berbentuk musyaqqah atau kesusahan seperti: kewajipan mencari rezeki dengan sepenuh tenaga dan kewajipan menunaikan tuntutan agama, namun sebenarnya itu bukan merupakan satu musyaqqah bagi manusia.  Tuntutan taklif tersebut tidak dikira musyaqqah atau kesusahan kerana dari segi adat dan kebiasaaan tidak menjadi bebanan kepada manusia bahkan satu keperluan kepada mereka.  Antara lain juga dalam syariat terdapat kesusahan yang tidak dapat dipisahkan dengan kehidupan. Untuk itu, kesusahan tersebut tidak boleh menjadi sebab untuk mewujudkan kemudahan atau keringanan atau rukhsah. Sekiranya dalam hal tersebut dan semua perkara diberi rukhsah, sudah pasti manusia tidak akan hidupsempurna. Contohnya, sekiranya mereka tidak berusaha dan gigih mencari rezeki, mereka akan kepapaan. Sedangkan mencari rezeki itu adalah wajib kemudian barulah berserah kepada Allah.h.

 

Tujuan Musyaqqah

Pada dasarnya kaedah: Kesukaran membawa kemudahan mempunyai tujuan tertenu dan dengan memenuhi syarat tertentu iaitu:

a.       Mushaqqah atau Kesukaran yang mendatangkan kesenangan atau keringanan ialah yang terkeluar daripada garis kesusahan biasa seperti tugas-tugas yang dibebankan itu amat berat untuk dilaksanakan. Sehingga boleh membawa kepada kemudharatan kepada diri atau harta benda, jadi kesusahan atau kesukaran seperti ini boleh membawa kepada keringanan seperti puasa orang yang sakit boleh membawa kepada bahaya, maka syara' memberi kemudahan kepada pesakit untuk meninggalkannya tetapi ia wajib mengqhadakannya.

b.      Adapun mushaqqah atau kesusahan biasa yang tidak boleh dijadikan sebab bagi keringanan atau rukhsah . Iaitu kesusahan yang tidak membawa kemudaratan kepada diri dan jiwa. Contohnya berpuasa pada musim panas dan cuaca panas terik sepanjang hari, tidak boleh menjadi sebab digugurkan taklif atau mengambil rukhsah.

 

Sebab-sebab Rukhsah

Menurut penelitian ulama’, terdapat beberapa sebab kesusahan yang dapat memberi keringanan terhadap perlaksanaan hukum syarak. Antara sebab atau rukhsah dalam melakukan ibadat dan lainnya terbahagi kepada tujuh perkara:

Pertama: Musafir atau mengembara, maka hukum syara' mengharuskan qhasar sembahayang, meninggalkan puasa, menyapu khuf lebih daripada kadar sehari semalam dan menggugurkan fardu Jumaat.

Kedua: Penyakit, syara' telah memperuntukkan hukum rukhsah terhadap pesakit, antaranya: syara' telah mengharuskan ia bertayammum jika dikhuatiri penyakit itu semakin melarat atau bertambah sakit yang mungkin boleh membawa kepada kemudharatan atau mati anggota badan, dan diharuskan kepadanya duduk atau berbaring semasa menunaikan sembahyang atau rukuk dan sujud secara isyarat. Begitu juga bagi orang yang beriktikf diharuskan ia keluar dari masjid dan menggantikan orang lain untuk mengerjakan ibadat haji, dan diharuskan berubat dengan menggunakan najis dan harus doktor melihat aurat pesakit semasa ia membuat rawatan dan pemeriksaan.

Ketiga: Paksaan, orang yang dipaksa dandiugut dengan sesuatu tindakakn yang boleh mengancam nyawa atau anggota badan seperti dipaksa supaya melafazkan perkataan kufur maka harus ia berlafaz dengannya, akan tetapi iman di hatinya tetap teguh kepada Allah.

Keempat: Terlupa,menjadi sesuatu sebab bagi hukum keringanan. Seperti mereka yang mati atau minum secara terlupa tidaklah membatalkan puasa.

Kelima: Kejahilan, juga termasuk di dalam keuzuran yang membawa kepada keringanan seperti seorang yang tidak tahu rakan kongsinya telah menjual sebahagian rumah yang ia miliki secara berkongsi maka syarak membenarkannya hukum syuf'ah di antara mereka berdua.

Keenam: Umum al-Balwa (kesukaran dalam perkara)  juga termasuk di dalam sebab-sebab bagi keringanan seperti seseorang yang terkena penyakit dedas iaitu suatu penyakit yang mana pesakitnya selalu terkeluar air kencingnya, oleh itu dimaafkan ia sembahyang di dalam keadaan najis, begitu juga tahi burung yang meratai di dalam masjid dan di tempat-tempat tawaf, debu-debu jalan dan lain-lain lagi.

Ketujuh: Kekurangan, juga termasuk didalam kaedah ini seperti tidak dibebankan ke atas kanak-kanak(taklif) dan orang gila. Kaum perempuan tidak diwajibkan ke atasnya seperti sembahyang Jumaat, jihad dan diharuskan kepadanya memakai pakaian daripada sutera dan emas.

 

Pecahan Kaedah

          

Daripada kaedah ini , terbentuk beberapa pecahan iaitu:

 

إذَا ضَاقَ الْأَمْرُ اتَّسَعَ

a)      Sesuatu perkara apabila tersepit ia menjadi luas.

Contohnya seorang wamita yang kehilangan walinya (tidak diketahui dimana dia berada, hidup atau mati) sedangkan tidak ada wali hakim ditempat itu, maka bolehlah ia melantik seorang lelaki sebagai wali tahkim bagi mengahwinkan dengan lelaki pilihannya. Selain itu, diharuskan perempuan yang ber’idah keluar rumah apabila keadaan mendesak seperti bekerja untuk saran hidup.

 

إذَا اتَّسَعَ  الْأَمْرُ ضَاقَ

b)      Sesuatu perkara apabila menjadi luas maka ia akan menjadi sempit.

Maksudnya apabila darurat telah telah menimpa seseorang atau jemaah, kalau beramal dengan hukum asal yang disyarakkan dalam keadaan biasa akan menyulitan dan membebankan mereka untu melaksanakannya, maka kerana itu diberi keringanan dan kemudahan ke atas mereka selagi mana darurat itu masih wujud. Inilah makna “sesuatu perkara apabila tersepit akan menjadi luas”.  Tetapi apabila hilang darurat tersebut nescaya kembali hukum kepada asal ia disyariatkan. Inilah yang dimaksudkan “ apabila menjadi luas sesuatu perkara, maka ia akan sempit”.

Free CSS Template

Sponsors


Perpustaan Digital, mengandungi
ribuan kitab-kitab turath mu'tabar.
Download PERCUMA !!!

 

 

 

 

 

 
www.tayibah.com-footer

Home | Aqidah | Feqah | Keajaiban | Tokoh Artikel | Tazkirah | Sirah | Tamadun | Kesihatan | Perubatan  |  Usul Fiqh | Ulumul Hadis Doa & Zikir  | eKhutbah | Download |Video 


Copyright 1999-2018 www.tayibah.com

Penafian

Isi kandungan website ini adalah koleksi peribadi dan untuk rujukan semata-mata. Anda dinasihatkan merujuk kepada alim ulama' dan kitab-kitab mu'tabar untuk mendapatkan penjelasan lanjut. Jika terdapat kesilapan fakta, sila hubungi webmaster@tayibah.com untuk pembetulan. Kerjasama anda amat dihargai. Sekian. Terima kasih. Sama-samalah kita menyumbang kepada dakwah Islamiyyah.


   HONESTe Online Member Seal Click to verify - Before you buy!Valid CSS!Valid XHTML 1.0 Transitional