MURUNAH - Fleksibel
Murunah ialah anjal atau fleksibel iaitu boleh
berubah mengikut kesesuaian, namun masih tetap kepada prinsip asasnya.
Dengan kata lain, hukum boleh berubah berdasarkan situasi semasa.
Namun, hukum yang boleh berubah, HANYALAH yang melibatkan perkara cabang
atau furuk sahaja sebagai IHSAN atau KELONGGARAN syarak berdasarkan
situasi tempat dan keadaan.
Sebagai contoh, Islam telah mewajibkan solat fardhu
Zohor sebanyak 4 rakaat dalam waktu Zohor. Prinsip asasnya, iaitu Wajib
Solat Zohor, tidak berubah walau dalam apa keadaan sekalipun sehinggalah
seseorang itu meninggal dunia.
Namun, cabang atau furuknya boleh berubah kerana
desakan tempat @ keadaan. Islam telah memberi KELONGGARAN atau RUKHSAH
dengan membenarkan solat Zohor itu dipendekkan kepada 2 rakaat (Qasar)
atau dihimpunkan dengan solat Asar dalam waktu Asar (Jamak Ta’khir)
kerana dalam musafir atau keadaan yang dibenarkan oleh Syarak.
Begitu juga dalam ibadah Puasa. Allah telah
mewajibkan Puasa bulan Ramdhan sebagai salah satu rukun Islam yang wajib
dilaksanakan. Prinsip asasnya adalah WAJIB kepada setiap umat Islam.
Tetapi Allah telah memberi KELONGGARAN kepada orang yang sakit atau
dalam perjalanan berbuka puasa kerana keadaan yang dihadapinya,
TETAPI
WAJIB DIGANTI apabila dia telah sihat atau kembali daripada musafir.
Begitulah juga bagi wanita yang datang haid dan mengandung, disyaratkan
untuk diganti semula apabila dia telah suci dan sihat.
Ini menununjukkan bahawa Islam tidak membebankan
kepada umatnya dengan amalan yang sukar dan berat dilaksanakan pada
sesuatu ketika dan tempat.
Seterusnya, Allah telah meWAJIBkan umat Islam untuk
menutup aurat masing-masing. Allah telah memberi KELONGGARAN kepada
semua umat Islam untuk mempelbagaikan fesyen pakaian masing-masing
asalkan tidak memdedahkan aurat dan melanggar batas-batas pakaian yang
dibenarkan oleh syarak.
Walaupun Rasulullah SAW telah lama meninggalkan
kita, tiada wahyu diturunkan selepas itu, Tiada lagi hadis
diriwayatkan.... Namun Islam tetap sesuai sepanjang masa dan tempat.
Prinsip Islam adalah mudah dan tepat, walau apapun isunya, walaupun ia
adalah perkara baru, selagi ia tidak bercanggah dengan prinsip asas
ajaran islam, maka ia boleh diterima dan digunapakai. Islam telah
mewariskan para ulama' sebagai penganti nabi dalam menentukan halal
haram sesuatu perkara berdasarkan al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qias dan
beberapa dalil lain yang tidak disepakati spt al-Istihsan, Masalihul
Mursalah, Al-Istishab, Saddu al-Zarai’, Qaul Sahabi, ‘Amal Ahli Madinah,
Syar’u Man Qablana dan Al-‘Uruf Wa al-‘Adah. Melalui Ijtihad dan Fatwa
para ulama' inilah yang akan menyumbang kepada fleksibelnya agama
Islam.
Sesungguhnya sifat Murunah yang menjadi asas ajaran
Islam ini, menyebabkan Islam sesuai sepanjang tempat, masa dan zaman.
Sesuai di zaman Rasulullah SAW, sesuai di zaman nabi Adam, sesuai di era
zaman batu, sesuai di zaman era penjajahan barat, sesuai di era mesin
taip, sesuai era internet dan sesuai hingga hari qiamat. Begitulah
juga, Islam sesuai di Amerika, Afrika, sesuai di Asia, sesuai di tempat
salji dan berilklim sejuk @ gurun yang panas dan sesuai seluruh dunia.